ANALISIS KOHESI GRAMATIKAL DALAM TUGASAN PELAJAR IPTS
Keywords:
kohesi, gramatikal, kata penghubung, tugasan pelajar, IPTSAbstract
Kohesi adalah satu elemen asas dalam sesebuah penulisan. Fungsi kohesi adalah bagi memastikan makna ayat yang dibina mengalir dengan lancar dan saling berkaitan. Ini kerana ayat yang terbentuk tanpa adanya kohesi akan menyebabkan pembaca berasa mereka membaca ayat panjang yang tidak bermakna. Oleh itu, adanya kohesi di dalam teks yang berhubung antara satu sama lain akan membentuk makna ayat yang jelas kepada pembaca. Tambahan lagi, pembaca dapat memahami aliran pemikiran yang cuba disampaikan oleh penulis, sekaligus meningkatkan pemahaman dan penghayatan berkaitan isi kandungan. Justeru, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti dan menganalisis penggunaan aspek kohesi gramatikal dalam tugasan pelajar di peringkat pengajian tinggi swasta. Kajian ini menggunakan kerangka Halliday dan Hasan (1976). Bagi pengumpulan data, kajian ini menggunakan analisis dokumen kerana bersesuaian bagi mengenal pasti tema, konsep dan makna. Responden pula terdiri daripada pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang diminta menulis beberapa perenggan karangan dalam bahasa Melayu yang mana tajuknya telah ditentukan. Analisis kajian hanya membincangkan berkaitan kohesi gramatikal penghubung pertambahan sahaja. Data-data kajian dikira dalam bentuk peratus dan dihuraikan. Hasil kajian menunjukkan pelajar banyak menggunakan kohesi gramatikal penghubung pertambahan di dalam penulisan karangan walaupun ayat yang dihasilkan kurang gramatis. Kajian ini memberi implikasi kepada pengajaran bahasa dan kurikulum di IPTS untuk meningkatkan kualiti penulisan pelajar.
