EKONOMI KELUARGA DAN AMALAN URUT MELAYU TRADISIONAL PATUH SYARIAH DI KELANTAN
Keywords:
Ekonomi keluarga, urut Melayu tradisional, patuh syariah, pendapatan isi rumah, Kelantan, warisan budayaAbstract
Urut Melayu tradisional merupakan satu bentuk warisan budaya yang masih kukuh diamalkan dalam kalangan masyarakat Kelantan. Amalan ini bukan sahaja berperanan sebagai medium rawatan kesihatan dan kesejahteraan fizikal, malah turut berpotensi sebagai sumber penjanaan ekonomi keluarga, khususnya bagi wanita dan suri rumah. Kajian ini meneliti amalan urut Melayu tradisional patuh syariah sebagai instrumen pembangunan ekonomi keluarga, dengan memberi tumpuan kepada aspek kepatuhan terhadap prinsip patuh syariat serta tahap penerimaan masyarakat terhadap amalan tersebut. Kajian ini menggunakan pendekatan gabungan kualitatif dan kuantitatif, melibatkan temu bual bersama 100 orang pengamal urut dan soal selidik terhadap 120 isi rumah di beberapa daerah utama di Kelantan. Dapatan menunjukkan bahawa urut Melayu tradisional menyumbang kepada pendapatan bulanan antara RM800.00 hingga RM2,500.00, bergantung pada bilangan pelanggan, jenis rawatan dan lokasi operasi. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa amalan urut yang mematuhi garis panduan syariah seperti wanita merawat wanita, penjagaan aurat, serta penggunaan bahan dan minyak urut halal mendapat penerimaan yang amat positif dalam kalangan masyarakat tempatan. Artikel ini turut mencadangkan agar amalan urut Melayu tradisional patuh syariah diperkukuh sebagai sumber ekonomi halal dan berdaya maju melalui pelaksanaan program latihan bertauliah, sistem pensijilan rasmi, pengiktirafan kerajaan, serta pengintegrasian dalam pendidikan keusahawanan dan kesihatan Islam. Secara keseluruhannya, kajian ini menegaskan bahawa urut Melayu tradisional patuh syariah bukan sekadar rawatan fizikal, tetapi juga wadah pembangunan sosioekonomi berasaskan warisan budaya dan nilai keagamaan, yang berpotensi memperkasa ekonomi keluarga serta kesejahteraan komuniti di Kelantan.
